Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) bakal disambut dalam dua minggu lagi dan pastinya ada di antara anda yang merancang untuk membeli kenderaan baharu. Inilah masa yang paling tepat untuk buat keputusan kerana pasti ada syarikat pengeluar yang menganjurkan promosi jualan dengan menawarkan penjimatan yang memuaskan.
Ini termasuklah Honda Malaysia yang memang tidak lekang membuat pelbagai kempen promosi, dan untuk bulan Januari 2025, sempena dengan CNY, anda berpeluang mendapat diskaun sehingga RM8,000 untuk mendapatkan kereta idaman anda, sama ada buatan tahun 2024 atau pun yang terkini 2025. Semua model CKD terlibat dengan promosi ini, kecuali Civic facelift yang baru dilancarkan minggu lalu.
Kita bermula dengan stok 2024… apa yang ada. City Sedan dengan varian S, V SE dan RS hybrid ditawarkan dengan potongan sehingga RM6,000, namun paling menarik E diberikan diskaun sebanyak RM8,000! Manakala untuk City Hatchback pula diberikan diskaun sehingga RM6,000 untuk semua varian. Bagi WR-V pula, ia menerima potongan antara RM5,000 (S) hingga RM8,000 (S,V, RS).
Untuk HR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM5,000 untuk varian asas S janaan-NA dan model bawah pengecas turbo E, sementara RS hybrid pula dengan diskaun mencecah RM6,000. Manakala bagi CR-V pula, diskaun sebanyak RM6,000 diberikan untuk varian asas (S) dan model spesifikasi tertinggi (RS hybrid), bagi varian E dan V, diskaun sebanyak RM8,000 diberikan.
Jika anda inginkan model buatan tahun 2025, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan untuk semua varian City Hatchback, WR-V, HR-V dan CR-V. Manakala City sedan didatangkan dengan rebat RM2,000 untuk semua varian, kecuali versi petrol RS yang diberikan diskaun sebanyak RM3,000.
Sebagai tambahan kepada rebat tunai, mereka yang mendaftar City atau City Hatchback dari sekarang hingga 28 Februari akan mendapat bonus servis percuma selama setahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.