Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition telah membuat penampilan umumnya di Malaysia Autoshow 2025 yang sedang berlangsung, disamping Arteon Wolfsburg Edition. Ditawarkan dalam dua varian, Elegance dan R-Line 4Motion, model SUV CKD ini diberikan beberapa kemaskini serta tambahan kelengkapan istimewa.
Varian Elegance Wolfsburg Edition dijual dengan harga RM210,990 atau RM211,590 jika mengambil kira kos atas jalan dan belum termasuk insurans.
Antara penambahbaikan yang dibuat untuk Wolfsburg Edition termasuklah lencana Wolfsburg di tiang B, dashcam Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 (UTR2.0) depan dan belakang, penutup tiub tayar Volkswagen serta kotak pemilik yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, sijil keaslian dan alas kaki Wolfsburg Edition.
Kedua-dua varian juga datang dengan pelindung bucu (termasuk untuk bampar depan), talam but polypropylene, ruang letak dan cangkuk yang ada di belakang kerusi depan serta pedal sport aluminium (Elegance sahaja).
Dengan harga ini, Elegance Wolfsburg Edition RM5,000 lebih mahal berbanding Elegance biasa, tetapi dengan harga pengenalan yang ditawarkan, harga jualannya diturunkan sebanyak RM30,000 menjadi RM180,990, atau RM181,590 atas jalan belum termasuk insurans.
Bagi varian R-Line 4Motion Wolfsburg Edition, harga biasa ialah RM263,990 atau RM265,074 atas jalan belum termasuk insurans. Harga ini juga RM5,000 lebih mahal berbanding R-Line 4Motion standard. Namun, dengan harga pengenalan, ia diturunkan sebanyak RM20,000 menjadi RM243,990 atau RM245,074 atas jalan belum termasuk insurans.
Dibandingkan dengan varian biasa Tiguan Allspace, Wolfsburg Edition ini lebih murah. Sebagai konteks, Elegance biasa dijual dengan harga RM205,990 atau RM206,590 atas jalan belum termasuk insurans, sementara untuk R-Line 4Motion dengan harga RM258,990 atau RM260,074 atas jalan belum termasuk insurans.
Sama juga seperti Arteon Wolfsburg Edition dan Golf GTI Black Edition, Volkswagen Assurance Package (VAP) kini diperkemas untuk Tiguan Allspace Wolfsburg Edition. Ia kekal ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan lima-tahun, tetapi pakej selenggara telah dinaikkan menjadi tujuh tahun atau 105,000 km (yang mana dulu) daripada lima-tahun/75,000 km.
Selain perubahan tersebut, spesifikasi lain kekal sama seperti Tiguan Allspace Standard. Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear klac berkembar basah enam-kelajuan.
R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.