Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90% berbanding 85% sebelum ini, laporan Berita Harian.
Justeru, kata beliau, rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksana penyasaran subsidi ke atas bahan bakar itu.
“Mekanisme secara terperinci kita buat. Tapi saya tak terfikir rakyat biasa (perlu) runsing sebab 85%, 90% tak terkesan apa pun kaedah yang akan diperkenalkan dalam isu rasionalisasi (subsidi) minyak RON95.
Malah kita kaji bukan 85%, tapi 90% tak dikenakan kepada rakyat. Yang dikenakan (kepada) siapa? orang asing dan yang maha kaya. Kalau gaji dan pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sikit,” katanya.
Anwar turut berkata, kerajaan sudah mengenalpasti golongan yang tidak akan menikmati penyasaran subsidi RON95, sama seperti yang dilaksana ke atas penyasaran elektrik sebelum ini.
“Umpamanya kita naikkan letrik, itu untuk golongan kaya saja, begitu juga RON95. Saya ingat yang (berdiri) depan (saya) ini, wartawan semua ini tidak terkesan. Melainkan ada wang gelap masuk, itu saya tak tahu,” katanya.
Semalam Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.
Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai sistem agihan subsidi RON95 selepas mengambil kira agihan Sumbangan Asas Rahamh (Sara), yang mana 700,000 penerima sebelum ini akan diperluas kepada 5.4 juta penerima MyKad bermula 1 April ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.