Hanya selepas sebulan Tesla mendedahkan Model Y facelift (kod nama Project Juniper), kereta paling laris di dunia ini tiba di Malaysia. SUV elektrik dengan penampilan terbaru ini dipamerkan di Pavilion Damansara Heights (hingga 2 Mac nanti): ini dalam tempoh dua bulan sebelum serahan untuk pelanggan di sini dimulakan.
Tesla Model Y Juniper facelift ini ditawarkan dalam dua varian, dengan harga jualan seperti berikut:
- Tesla Model Y Rear-Wheel Drive – RM195,450
- Tesla Model Y Long Range All-Wheel Drive – RM242,450
Ini menjadikan Model Y terbaru ini RM4,450 lebih mahal berbanding model sama sebelum ini, yang menerima potongan harga sebanyak RM8,000 pada April tahun lalu. Ini angka untuk kereta asas dan belum termasuk pilihan lain seperti warna badan atau kabin putih. Antara pilihan yang ada termasuk:
- Cat Pearl White Multi-Coat – RM5,000
- Cat Glacier Blue – RM7,500
- Cat Quicksilver – RM11,000
- Cat Ultra Red – RM11,000
- Roda 20-inci Helix 2.0 – RM10,000
- Kabin dalaman putih – RM5,000
- Enhanced Autopilot – RM16,000
- Ciri Self Driving Penuh – RM32,000
Kereta yang ditunjuk ini ialah unit Launch Series yang hadir dengan lencana belakang khusus, lampu logo ke permukaan tanah, pelapik sisi Launch Series dan papan pemuka balutan kulit vegan serta warna dalaman hitam standard. Pembeli bagi varian Long Range (LR) juga akan menerima fungsi Acceleration Boost yang memendekkan lagi tempoh pecutan 0-100 km/j. Tesla bagaimanapun tidak menyatakan berapa banyak unit Launch Series ini akan tersedia, namun memaklumkan yang tempahan untuk edisi istimewa akan dibuka pada bulan pertama.
Seperti lazimnya dengan Tesla, tiada angka output atau kapasiti bateri yang dinyatakan. Untuk pecutan 0-100 km/j, Tesla mendakwa kereta ini mampu mencapainya dalam masa 5.9 saat dengan jarak perjalanan sejauh 466 km. Bagi varian LR AWD, tempoh pecutan tersebut lebih pendek dengan 4.3 saat (dengan Acceleration Boost) dan boleh bergerak sejauh 551 km dengan satu cas penuh. Kedua-duanya mempunyai laju maksimum 203 km/j yang dihadkan secara elektronik.
Perubahan terbesar Model Y kali ini ialah rekaannya, yang menerapkan pendekatan terkini Tesla seperti yang pernah dilihat pada Cybertruck dan Cybercab. Di depan, rekaan lampunya dalam jalur berkelebaran penuh di kedudukan lebih rendah; lencana “T” Tesla juga tiada lagi. Kamera depan pula terselindung di bahagian bukaan udara, memberikan imej yang lebih mudah untuk pemandu, misalnya ketika parkir. Bagaimanapun, kameran 360-darjah masih tidak disediakan.
Di belakang turut menggunakan jalur lampi berkelebaran penuh yang sama seperti di depan. Tesla menggelarnya sebagai lampu belakang tidak langsung yang pertama di dunia, dengan ejaan Tesla yang juga berkilauan. Bahagian diffuser pula direka semula untuk mengurangkan rintangan angin dan kini turut menempatkan ruang nombor plat. Sedikit di atas, belakangnya terdiri daripada dua bahagian dan bentuk cermin belakang yang baru.
Selebihnya, Model Y juga didatangkan dengan pilihan rim baru, termasuk unit Crossflow 19-inci dengan pelindung aero warna hitam, serta unit 20-inci Helix 2.0 dalam warna perak. Cermin sisinya juga diberikan rekaan baru dengan garis ketara di bahagian atasnya. Pilihan warna juga diperluas, dengan adanya warna Glacier Blue baru, sementara Stealth Grey menggantikan Pearl White Multi-Coat sebagai warna standard model ini.
Di dalam, Modal Y menerapkan juga kemaskini yang diberikan kepada Model 3 facelift sebelum ini, termasuklah skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, lampu ambient kustom, kerusi berliang dan skrin sentuh lapan-inci di belakang konsol dengah.
Satu perbezaan lain, SUV ini tidak lagi menggunakan kawalan penunjuk di roda sterengnya yang digantikan dengan tuil konvensional (tiada fungsi sekali-sentuh tiga-kelipan), walaupun butang untuk lampu dan penggilap kekal dikawal seperti sebelum ini. Pemilih gear juga masih ada di dalam skrin, dan bukannya melalui tombol biasa.
Peningkatan lain yang diberikan termasuklah kaca akustik berganda untuk semua tingkap (cermin depan hanya untuk model 2024) yang menjadikan kabin lebih senyap, serta lapisan pemantul UV perak bagi bahagian kaca bumbung. Kerusi belakang juga menerima fungsi larasan penyandar berkuasa — melalui butang yang terletak di ruangan but.
Selain itu, model ini juga diberikan acuan badan yang telah menyatukan 70 bahagian menjadi satu agar lebih stabil dan senyap.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.