Siri perlumbaan GT terulung dari Jepun, iaitu Autobacs Super GT pusingan ketiga bagi musim 2025 sudahpun berlangsung dengan jayanya di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hujung minggu lalu. Nampaknya rakyat Malaysia betul-betul ‘lepas rindu’ terhadap perlumbaan yang menghilang di Sepang selama 12 tahun ini kerana menurut pemegang hak dan promoter untuk perlumbaan tersebut di Malaysia iaitu Haro Sports & Entertainment, acara yang berlangsung dari 27 hingga 28 Jun itu telah mencatatkan pengunjung seramai 75,977 orang!
Perlumbaan bermula sengit seawal sesi kelayakan di mana kebanyakkan jentera GT500 terkini dapat memecahkan rekod lap terpantas yang dicatatkan jentera GT500 pada 2019 di litar berkenaan. Akhirnya kedudukan pole GT500 disahkan milik jentera WedsSport Advan GR Supra yang mencatatkan masa 1 minit 49.748 saat. Manakala untuk kategori GT300, petak pertama adalah milik UpGarage AMG GT3 yang mencatatkan masa 2 minit 2.110 saat.
Perlumbaan utama bermula pada pukul 4 petang 28 Jun di mana kelompok jentera GT500 dilepaskan secara rolling start terlebih dahulu dan diikuti jentera-jentera kelas GT300 di belakang. Deloitte Tom’s GR Supra dipandu pasangan Ukyo Sasahara dan Giuliano Alesi yang hanya mencatatkan masa ke-4 terpantas ketika sesi kelayakan berjaya memenangi kelas GT500 selepas menukar strategi untuk melambatkan hentian pit, mengambil kesempatan berada di hadapan dengan trafik yang lebih baik.
Manakala jentera ARTA Mugen Civic Type R-GT yang dipandu pasangan Tomoki Nojiri dan Nobuharu Matsushita berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua, iaitu kedudukan yang sama dicapai ketika sesi kelayakan. Tempat ketiga pula adalah milik Nissan Z Impul TRS.
Untuk kategori GT300, jentera Green Brave GR Supra dipandu oleh pasangan Hiroki Yoshida dan Seita Nonaka yang memulakan perlumbaan dari petak kedua berjaya memintas UpGarage AMG GT3 dipandu Takashi Kobayashi bersama Yuto Nomura seawal selekoh pertama, lap pertama permulaan. GR Supra dalam spesifikasi GT300 MC dengan enjin V8 tersebut menguasai perlumbaan dengan meninggalkan pesaing lain jauh di belakang.
Namun dengan hentian pit yang dibuat dalam masa yang agak lama berbanding pasukan lain, kedudukan Green Brave GR Supra berkenaan kembali jatuh ke tempat kedua, dipintas semula oleh UpGarage AMG GT3. Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlumbaan di mana Green Brave GR Supra hanya tertinggal 0.933 saat di belakang UpGarage AMG GT3. Manakala tempat ketiga digondol oleh satu lagi Mercedes AMG GT iaitu Goodsmile Hatsune Miku AMG.
Perlumbaan kali ini juga menyaksikan dua pelumba negara iaitu Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva diberikan tiket wildcard untuk berlumba dalam kategori GT300. Untuk tahun hadapan Haro turut mengumumkan akan ada wakil dari Super GT Malaysia untuk berlumba dalam kategori GT500 pula.
Selain dari perlumbaan Super GT, penonton turut disajikan dengan dua perlumbaan sokongan iaitu musim ke-8 pusingan kedua Vios Challenge Malaysia serta pusingan pertama untuk musim pertama GR86 Cup Malaysia.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat Malaysia dan antarabangsa atas sokongan padu mereka terhadap perlumbaan dan kami sudah mencari mula jalan untuk meningkatkan pengalaman ini untuk peminat pada 2026,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada semua rakan kongsi, iaitu GTA, penaja dan agensi Kerajaan yang berkaitan atas sokongan mereka dan menyokong perlumbaan ini. Kalau bukan kerana pandemik global COVID-19, pusingan Malaysia akan diadakan lebih awal pada tahun 2020. Walaupun tertangguh selama lima tahun, semua pihak berkepentingan tetap komited dalam usaha ini dan ini adalah sesuatu yang kami berterima kasih kepada anda. Kami amat berterima kasih,” tambahnya.
Selain dari perlumbaan, Super GT pusingan Malaysia ini juga menyajikan banyak aktiviti lain termasuk festival makanan dan kebudayaan Jepun Nihon Matsuri, pameran model-model JDM, jualan pelbagai cendera hati dan barangan serta konsert selepas perlumbaan GT Live!
Cabutan bertuah untuk pembeli tiket yang menggunakan Mastercard turut dibuat semasa berlangsungnya konsert berkenaan, menyaksikan Cik Au Tzi Hua menjadi pemenang bertuah untuk membawa balik sebuah Toyota GR Supra. Menerusi perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini, Malaysia akan terus menganjurkan perlumbaan Autobacs Super GT pada tahun hadapan dan juga 2027.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.