Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat, laporan The Star.
“Tiada isu untuk menaikkan harga petrol untuk majoriti besar sehingga 85% hingga 95% rakyat kita. Adakah kita akan melakukannya? Ya, kerana rasionalisasi subsidi adalah kritikal untuk negara kita. Kita mahu sumber yang mencukupi untuk membantu golongan miskin, meningkatkan kualiti pendidikan, dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik, termasuk kesihatan,” katanya.
Beliau mengkritik pembangkang kerana mencipta naratif negatif mengenai rancangan kerajaan untuk RON95. “Apa sahaja yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah gimik terdesak untuk menunjukkan bahawa rakyat sedang menghadapi kesusahan. Terdapat lebih banyak berita negatif daripada mereka apabila kita memerlukan berita yang menggalakkan untuk memacu ekonomi kita,” katanya.
Kenyataan PM itu susulan kenaikan lebih 9% dalam harga minyak mentah global berikutan konflik Israel-Iran. Ditanya sama ada konflik dan peningkatan harga minyak mentah global akan menjejaskan ekonomi negara dan tabung kerajaan, beliau memberitahu pemberita ia tidak akan memberi kesan buruk buat masa ini.
“Buat masa ini, saya telah membincangkan perkara ini dengan setiausaha agung Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pemain terkemuka. Mereka memantau keadaan dengan sangat teliti, tetapi ia tidak semestinya memberi kesan buruk kepada industri dan mekanisme harga,” katanya.
Akhir Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini. Buat masa ini, katanya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.
Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.