Hari ini bermulanya acara Sime Motors AutoArena, yang berlangsung sehingga Ahad, 12 Januari ini. Pameran pelbagai jenama ini menjadi acara automotif pertama yang dianjurkan di dalam Stadium Bukit Jalil dan dibuka kepada orang ramai dari 9am ke 7pm.
Semua jenama di bawah Sime Motors terlibat dalam acara ini, termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Volvo. Selain kenderaan baru, anda juga boleh menyaksikan kenderaan terpakai Auto Selection yang dipamerkan di kawasan lapang tengah stadium.
Antara tawaran menarik yang disediakan semasa acara ini adalah rebat untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad, melalui Auto Bavaria, serta kadar faedah rendah untuk kenderaan BMW. Selain itu, jika membeli kenderaan BMW juga, anda akan menerima cabutan bertuah yang memberikan peluang memenangi tiket ke konsert I Am Gloria oleh G.E.M. Turut disediakan adalah pembesar suara dan peti sejuk Marshall percuma untuk mereka yang membeli kenderaan MINI atau BMW Motorrad.
Sempena dengan acara ini, BYD menawarkan rebat sehingga RM800 untuk kenderaan elektrik jenamanya, serta potongan sehingga RM25,000 untuk Seal Performance dan pelbagai lagi tawaran tukar-beli lain. Turut disediakan adalah rebat tunai untuk model Ford tertentu, serta pakej servis tambahan percuma.
Pergi kepada Hyundai, terdapat rebat sehingga RM47,888 bersempena Tahun Baru Cina. Lebih menarik sebenarnya adalah jika anda membeli sebuah EV, kerana Hyundai menawarkan pengecas wallbox percuma, bersama pakej panel solar bernilai RM40,000. Selain daripada itu, terdapat pelbagai pilihan Ioniq terpakai dengan harga bermula RM143,888.
Daripada jenama Jaguar Land Rover pula, mereka mengadakan pertandingan Celebrate and Elevate, yang menawarkan hadiah aksesori dan barangan rasmi jenama itu dengan nilai sehingga RM8,000 bagi mereka yang membeli sebuah kereta baru atau membelanjakan sekurang-kurangnya RM3,000 dalam satu resit di bahagian servis selepas jualan.
Terdapat juga pelbagai model Land Rover terpakai di acara ini, seperti Defender 110 dengan harga dari RM798,000, Velar dari RM548,800, Evoque dari RM399,000 dan Discovery dari RM399,800. Turut disediakan adalah Jaguar I-Pace, yang datang dengan pengecas wallbox serta panel solar bernilai RM40,000 secara percuma. Tidak ketinggalan adalah Volvo, yang menyediakan pembiayaan tanpa faedah serta insurans kenderaan percuma untuk satu tahun.
Auto Selection membawakan kenderaan terpakai pelbagai jenama ke acara ini, seperti 320i M Sport 2024, dengan kadar faedah serendah 1.98%. Anda juga akan menerima jaminan tambahan satu tahun percuma untuk kenderaan plug-in hybrid seperti 330e M Sport 2017/2018 dan 530e Sport 2018, serta pengecas wallbox percuma dengan pembelian BMW iX.
Melalui kerjasama yang sudah terjalin antara Sime Motors dengan Perbadanan Stadium Malaysia, lebih banyak acara akan diadakan oleh syarikat automotif ini di stadium pada masa hadapan. Sime Motors juga menyediakan dua EV selama 24 bulan untuk berkhidmat sebagai kenderaan rasmi bagi operasi stadium dan akan memasang pengecas EV Gentari di stadium.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.