Acara pameran automotif terbesar dunia, Auto Shanghai 2025, yang diadakan di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai, China bakal membuka tirainya pada 25 April ini dan berlangsung hingga 2 Mei. Antara pengeluar kenderaan yang mengambil bahagian ialah Jetour, jenama di bawah naungan Chery Holding Group di China. Walau bagaimana pun, Jetour yang ditubuhkan pada tahun 2018 bergerak sendirian di pasaran Malaysia, berasingan dari pengurusan Chery Malaysia.
Untuk penganjuran Auto Shanghai yang ke-21 ini, Jetour mempersembahkan model SUV off-road keluarannya, T2 iaitu versi pemanduan sebelah-kiri (LHD). Untuk pengetahuan anda, Jetour Malaysia telah mengesahkan, selepas memperkenalkan SUV Dashing untuk pasaran tempatan, terdapat beberapa lagi model keluarannnya yang akan dibawa masuk ke Malaysia, ini termasuklah SUV off-road T2. Malahan, Timbalan Presiden Jetour Auto International, Kevin Xu, pernah mengesahkan kesemua model Jetour yang dibawa masuk ke Malaysia akan dipasang secara tempatan (CKD), termasuklah T2.
Untuk pasaran global, T2 dikuasai oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan output 184 PS dan tork 290 Nm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan enjin 2.0 liter turbo (254 PS/390 Nm), sama seperti Chery Tiggo 8 Pro, dengan padanan transmisi DCT tujuh-kelajuan.
Bukan itu sahaja, T2 juga ditawarkan dengan versi plug-in hybrid, dengan unit kuasa yang sama seperti Omoda C9 PHEV iaitu Super Hybrid System (SHS). Diberikan enjin 1.5 liter turbo berkuaasa 156 PS dan tork 220 Nm, digandingkan bersama motor elektrik 224 PS/390 Nm dan dedicated hybrid transmission (DHT) tiga-kelajuan, sekaligus menghasilkan output yang lebih padu berjumlah 381 PS dan tork 610 Nm. Ia juga diberikan bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 43.2 kWh dan motor belakang pula menghasilkan sehingga 619 PS dan 700 Nm.
SUV off-road T2 ini memiliki ukuran dimensi 4,785 mm panjang, 1,880 mm tinggi, 2,006 mm lebar dan jarak roda 2,800 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 220 mm serta mampu meraduk air dengan kedalaman hingga 700 mm. Cukup sesuai karakternya untuk dilenjan pemanduan off-road.
Berkenaan dengan rekaan luarannya, penampilan agresif dan maskulin pastinya menjadi pilihan untuk membuatkan T2 ini tampil lebih hensem. Ia diberikan set tayar off-road dengan rim 19-inci, wajah hadapan yang garang termasuk lampu utama matrix LED dan advanced front grille yang sama dengan warna badan, lampu kabus hadapan LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, penderia hadapan, spotlight, rel bumbung, gerbang roda yang besar, pemijak sisi sporty, lampu belakang menegak LED, bampar belakang yang tebal dan juga tayar simpanan yang tersimpan di dalam kotak belakang yang menyerlah.
Walau pun bahagian luarannya diberikan gaya agresif, namun ruang kabinnya diserlahkan dengan sentuhan premium ala SUV mewah. Tidak diberikan elemen futuristik dan sarat, rekaan dalamanya nampak kemas dan ringkas tetapi masih mengetengahkan unsur mewah dan elegan.
Antara ciri kelengkapan dalaman yang diberikan termasuklah tempat duduk balutan suede dengan kawalan elektronik dan jahitan kemasan merah termasuk pada bahagian konsol tengah, balutan kulit pada papan pemuka, sistem bunyi sekeliling Sony dengan 12 unit pembesar suara, skrin sesentuh besar, bumbung suria panoramik 64-inci, dua unit alas pengecas tanpa wayar, paparan digital 15.6-inci, butang penghidup enjin, roda stereng dengan butang kawalan, empat mod pemanduan (AWD, Sport, Normal, ECO), dan corong ventilasi untuk tempat duduk belakang.
Untuk aspek keselamatan, SUV off-road T2 diberikan tujuh beg udara, penderia parkir, kawalan bantuan mula mendaki, kawalan bantuan menurun bukit, Front Impact Beams, Side Impact Beams, Brek Parkir Elektronik, Pemantauan Titik Buta, sistem Amaran Ketibaan Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, dan Terrain Response (Snow, Mud, Rock, Crawl).
Media permotoran global yang diundang ke Shanghai termasuklah paultan.org, diberikan peluang eksklusif untuk melihat unit prototaip bagi T2 versi pemanduan sebelah-kanan (RHD) yang dipamerkan di Hilton Shanghai. Sedikit sebanyak ia memberikan gambaran tentang versi T2 RHD yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, ada beberapa ciri kelengkapannya masih belum diputuskan untuk versi ini. Cuma mengikut sumber yang kami perolehi, T2 untuk Malaysia akan menerima beberapa pilihan penjana kuasa termasuklah 1.5 Turbo, 2.0 Turbo dan PHEV.
Berkenaan harganya pula, ia juga belum diputuskan. Bagi versi standard T2 di China yang dilancarkan pada April 2022, ia ditawarkan dengan harga antara $179,900 (RM108,584.14) hingga $209,900 yuan (RM126,691.56) dan bermula $1,046,100 baht (RM137,639.95) di negara jiran kita, Thailand. Jadi, kemungkinan harga T2 RHD yang akan ditawarkan di Malaysia tidak begitu jauh bezanya seperti di Thailand. Mungkin. Apa pun, kena tunggu perkembangan selanjutnya dari Jetour Malaysia termasuk ciri kelengkapan penuh bagi versi tempatan.
GALERI: Jetour T2 di Auto Shanghai 2025
GALERI: Model prototaip Jetour T2 RHD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.