Perkhidmatan van Rapid KL On-Demand kini menerima pembayaran menggunakan kad debit dan kredit. Diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang berkata bahawa terdapat 20 buah van yang beroperasi di tujuh zon telah dipasang dengan peranti pengimbas pembayaran kad. Menurut beliau lagi, sistem pembayaran terbuka ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya mulai Mei ini.
Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembayaran bagi para pengguna. Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau jika baki kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Ini secara langsung turut meningkatkan lagi pengalaman pelanggan terhadap perkhidmatan Rapid KL.
“Kita telah melabur berbilion-bilion dalam sistem pengangkutan Lembah Klang, termasuk dua laluan MRT dan menjelang akhir tahun pula laluan LRT ketiga akan siap. Tetapi untuk laluan rel ini berkesan, kami memerlukan ketersambungan perjalanan pertama dan terakhir yang kukuh dan untuk ini kami berterima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri atas komitmen mereka untuk menambah baik pengangkutan awam,” kata Loke memetik laporan The Malay Mail.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata kerajaan juga memperuntukkan RM55 juta lagi untuk pembelian tambahan 320 van Rapid KL On-Demand dan ia dijangka beroperasi di 101 zon menjelang Jun tahun ini, laporan Harian Metro.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam. Kami mahu menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat. Salah satu aduan utama (pengangkutan awam) diterima adalah perjalanan pertama dan terakhir (bermula dari hab ke destinasi akhir). Dengan menambah RapidKL On-Demand ini, kami meluaskan tempat pengambilan penumpang dan menjadikan pengangkutan awam lebih mudah diakses,” tambahnya.
Rapid KL On-Demand nama baharu bagi Demand Responsive Transit (DRT), kini beroperasi di 37 zon dengan dengan 110 van secara keseluruhan bagi Rapid KL serta Rapid Penang. Kadar tambangnya hanya RM1 untuk perjalanan sehala, dan percuma sekiranya anda merupakan pemegang pas My50.
Purata masa menunggu untuk Rapid KL On-Demand adalah sekitar 10 minit manakala jumlah masa perjalanan antara 10 hingga 20 minit. Disebabkan menerima sambutan yang menggalakkan iaitu kira-kira 4,000 penumpang setiap hari, perkhidmatan van ini juga dijangka akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi, dengan sasaran 36,000 penumpang sehari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.