Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) di China kini meraikan ulang tahun pertamanya selepas mula dibuka pada April tahun lalu. Terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding (Geely), pusat itu menjadi pelengkap kepada kemudahan R&D Proton yang ada di Malaysia.
Kerjasama antara Proton dan Geely secara langsung telah memperkasakan kemampuan R&D Proton dan membolehkan pemindahan teknologi untuk dimanfaatkan oleh semua model Proton. Kerjasama itu juga telah memupuk persekitaran yang dinamik bagi pertukaran pengetahuan dan invasi, yang akan membolehkan Proton untuk memenuhi keperluan pelanggannya.
Sistem baru bagi pembangunan produk dilaksanakan di PRDC untuk meliputi semua fasa kritikal pembangunan, bermula dari strategi dan definisi awal produk hinggalah kepada fasa akhir dan penilaian data, yang dijalankan bagi memastikan hubungan yang selari serta progres yang cekap, jelas Proton.
“Sejak tiga bulan lalu, saya telah menyaksikan bagaimana PRDC menyumbang kepada pembangunan kenderaan pintar generasi akan datang Proton melalui penyepaduan teknologi E&E kenderaan yang canggih,” ujar jurutera kanan, Wan Fatin Nur Amira Binti Wan Rusli, yang tertanggungjawab mengendalikan penyepaduan kerja-kerja elektrik dan elektronik di PDRC.
Proton juga sedang menunjukkan progres dalam memperkaya karekteristik pemanduan bagi model-model akan datang, yang mana aspek casis diberi penelitian halus yang sesuai untuk jalan raya Malaysia, dalam perkara seperti membrek, kesenyapan kabin, gegaran dan kekerasan (NVH) dan juga kecekapan bahan api, jelas ketua jurutera bagi prestasi Proton, Muhammad Hafiz Bin Zabidi.
Antara hasil kerjasama antara PRDC dan Geely ialah eMas 7, kereta elektrik pertama Proton. Menggunakan asas dari Geely Galaxy E5/EX5, eMas 7 dihasilkan dengan bantuan makmal bateri, ujian sistem janaan serta pusat pembangunan kenderaan pintar Geely di Hangzhou Bay.
Pencapaian yang boleh dibanggakan oleh PRDC ini dicapai melalui usaha yang telah disahkan berkaitan pengurusan haba, kecekapan pengecasan dan brek regeneratif, untuk mempertingkatkan keselamatan, ketahanan dan jarak bateri. “Melalui usaha ini, kami berada di landasan yang betul untuk memperkenalkan EV bernilai tinggi yang boleh diharapkan, untuk pelanggan ASEAN,” jelas jurutera kanan, Omar Farhan Bin Omar.
“Setiap hari kami berhubung dengan R&D Proton di Malaysia, berkongsi pengetahuan teknikal dan data ujian yang akan membantu memperbaiki kemampuan ujian di Malaysia. Ini bagi memastikan Proton boleh membangunkan kenderaan berkualiti tinggi dan berdaya saing pada masa depan,” jelas jurutera kanan ujian dan pembangunan, Zulkifli Bin Fadzlullah.
PRDC Hangzhou Bay memainkan peranan penting dalam senibina E&E serta pembangunan EV Proton. Pusat yang berpangkalan di China itu merancang untuk menggandakan tenaga kerjanya menjelang hujung tahun ini, yang dijangka akan melonjakkan lagi kemampuan R&D-nya sebagai sebuah kumpulan, jelas ketua R&D kejuruteraan dan teknikal, Mohd Haizam Bin Ghazali.
“Kerjasama ini menjadi penghubung yang penting bagi kemampuan pembangunan produk Proton dengan menyediakan capaian kepada jurutera terhadap kemudahan canggih dan memberdayakan mereka tanpa mengubag teras operasi R&D dari Malaysia,” ujar Mohd Haizam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.