The Nation Thailand melaporkan bahawa satu syarikat pembuat tayar dari China kini sedang disiasat oleh kementerian industri negara berkenaan kerana didakwa menyeludup tayar yang rosak, kemudian diubahsuai dan dijual sebagai tayar baharu dalam pasaran.
Sumber yang tidak mahu dikenali menyatakan bahawa syarikat berkenaan pada awalnya menerima hak pelaburan bagi mengilangkan tayar di Thailand menggunakan bahan mentah yang diimport dari China. Namun apa yang meragukan syarikat tersebut hanya menggunakan pekerja yang turut dibawa dari China.
Walau bagaimanapun kementerian berkenaan menerima petunjuk bahawa syarikat yang didakwa tersebut telah menyeludup masuk tayar yang rosak dari China, di mana tayar-tayar berkenaan gagal untuk memenuhi standard keselamatan dan kualiti.
Jenama dan logo asal pada tayar-tayar berkenaan kemudiannya telah dibuang, seterusnya ia dicetak dengan jenama baharu dan dijual pada pasaran Thailand. Malah ada sumber yang tidak mahu namanya didedahkan dari kementerian memberitahu ada tayar-tayar telah dicetak dengan label ‘Made in Thailand’ bagi tujuan untuk dieksport keluar dari Thailand.
“Kementerian gusar sekiranya tayar-tayar yang tidak mencapai standard ini dieksport sebagai produk yang dibuat oleh Thailand, ia mungkin akan menjejaskan dengan teruk imej Thailand dalam pasaran global,” kata sumber tersebut.
Laporan ini turut menyebut selepas kementerian berkenaan menerima maklumat, satu pasukan telah dihantar untuk menyiasat kilang tayar itu, di mana tayar-tayar yang didakwa telah diubahsuai tersebut ditemui disimpan bersama tayar-tayar yang dibuat secara tempatan dan ditandakan “untuk eksport sahaja”.
Kementerian tersebut kini sedang menunggu penjelasan dari syarikat tayar berkenaan. Hasil siasatan dan laporan kelak akan diserahkan kepada Menteri Industri Thailand, Akanat Promphan yang akan memutuskan tindakan selanjutnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.