Hicom Engineering dan Hangzhou Flash Charging (HFC) kini telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama, New Energy Asia (NEA) yang akan bertindak selaku pengedar hak bagi kelengkapan pengecasan EV di pasaran Malaysia dan Asean.
Hangzhou Flash Charging (HFC) merupakan anak syarikat kepada Lotus Technology, dan New Energy Asia akan mengedarkan portfolioa kelengkapan pengecasannya yang dikeluarkan oleh HFC, melibatkan kedua-dua pengecas AC dan pengecas pantas DC.
Barisan pengecas DC-nya terdiri daripada versi penyejukan udara yang boleh membekalkan output dari 30 kW hingga 240 kW, serta versi penyejukan cecair yang boleh membekalkan output antara 300 kW hingga 450 kW — versi kedua itu memadai untuk menampung pengecasan kenderaan bagi model seperti Lotus Emeya, yang boleh menerima hingga 400 kW untuk pengecasan 10%-80% dalam masa 14 minit.
Selain itu, NEA juga akan turut mengedarkan pengecas AC, termasuk pengecas AC pintar yang boleh ditetapkan untuk tahap output 7.4 kW, 11 kW dan 22 kW. Syarikat itu juga akan membekalkan sistem penyimpanan tenaga canggih untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi penggunaan domestik dan komersial, jelas Hicom dalam kenyataan medianya.
Walaupun barisan produk yang ditunjuk itu terpampang jenama Lotus, NEA juga akan mengedarkan produk pengecasan berkenaan tanpa label bagi operator yang ingin menghadirkan kelengkapan berkenaan dalam penjenamaan lain mengikut keperluan perniagaan masing-masing.
Di peringkat ini, NEA akan memberi tumpuan kepada pengedaran produk serta sokongan lepas jualan bagi tujuan business-to-business (B2B), dan bukan sebagai charge point operator (CPO).
Sebagai permulaan, semua kelengkapan pengecasan itu akan dibawa masuk dari China, namun NEA mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang, bergantung kepada permintaan. Pemasangan tempatan ini juga dijangka akan dilakukan di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.
Majlis pelancarannya juga menyaksikan beberapa pihak turut menandatangani MoU bersama NEA bagi tujuan ini: Fuelling Malaysia, Pro-Net dan Malakoff Green.
Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan penyelesaian mobiliti bersih dan memacu inovasi dalam penyelesaian tenaga dan teknologi pengecasan bagi kenderaan penumpang dan komersial, jelas Hicom Engineering.
Pengecas NEA jenama Lotus
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.