Pelbagai reaksi yang muncul berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mahu menghentikan pemberian tol percuma sempena cuti perayaan, bermula dengan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. Bagi Naib Presiden MIC T Murugiah, kerajaan perlu meneliti penarikan balik pemberian tol percuma berkenaan berlaku adil kepada masyarakat Cina.
“Saya ingin menyeru pihak kerajaan agar membuat pertimbangan yang lebih teliti dan saksama terhadap keputusan penarikan balik bayaran tol sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Langkah ini amat penting untuk memastikan bahawa masyarakat Cina, yang merayakan perayaan terbesar mereka, diberikan keadilan dalam menikmati kemudahan serta galakan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh The Star.
Menurutnya pemberian tol percuma hanya untuk tempoh sementara namun ia boleh meringankan beban kewangan dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.
“Perlu diingat bahawa kerajaan pernah berjanji untuk menghapuskan pembayaran tol sekiranya diberi mandat untuk memerintah.
“Kini, walaupun janji itu belum ditunaikan sepenuhnya, setidak-tidaknya kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab sosial dengan memberikan keistimewaan seperti pemberian tol percuma sempena perayaan utama. Amat mengecewakan jika ketika waktu perayaan sekalipun, keprihatinan ini diabaikan,” katanya.
Pengumuman berkenaan pemberhentian pemberian tol percuma ini dibuat oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pada Selasa lalu. Walau bagaimanapun kerajaan kini sedang mencari jalan bagi memberikan tol percuma tersebut secara bersasar.
Manakala Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata keputusan untuk menamatkan pengecualian tol di lebuhraya semasa musim perayaan belum muktamad dan mungkin masih disemak semula. “Jika ada keputusan baharu, Menteri Kerja Raya akan mengeluarkan pengumuman, kerana esok (hari ini) adalah hari terakhir untuk memuktamadkan keputusan itu sempena Tahun Baharu Cina akan datang,” katanya.
Tambah Ahmad Maslan lagi pemberian tol percuma dalam sehari sahaja menelan kos antara RM19 juta dan RM20 juta sebagai subsidi untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.