Hari Wanita Sedunia biasanya disambut pada 8 Mac saban tahun, walau bagaimana pun memandangkan tarikh berkenaan jatuh pada bulan Ramadan, jadi tak salah kalau hendak meraikannya lebih awal. Seperti mana yang dilakukan oleh Stellantis Malaysia yang mengajak sekumpulan wartawan wanita untuk memandu uji ringkas SUV elektrik Leapmotor C10 baru-baru ini.
Stellantis Malaysia telah melancarkan Leapmotor C10 ke pasaran tempatan pada 16 Oktober tahun lalu. Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu Design dengan harga jualannya RM159,000 — atas jalan belum termasuk insurans. Biar pun ia diletakkan di bawah kategori SUV segmen-D seperti mana Proton X90 dan Chery Tiggo Pro 8, namun dalam kalangan SUV EV, C10 ini menjadi pesaing kepada BYD Atto 3 dan juga Proton eMas 7.
Hampir 20 wartawan wanita dari pelbagai penerbitan dan portal diundang untuk sesi istimewa ini. Dan buat pertama kali dalam sejarah kerjaya saya sebagai wartawan pemotoran hampir 14 tahun ini (12 tahun bersama paultan.org), saya menyertai sesi pandu uji dengan kesemuanya disertai wartawan wanita. Selalunya, sama ada hanya 2-3 orang saja wartawan wanita atau pun sering kali saya satu-satunya wanita tunggal dalam seisi pandu uji untuk media permotoran.
Sebelum memulakan sesi pandu uji dari Bukit Kiara, KL menuju ke Putrajaya, kami diberikan taklimat ringkas oleh Delinda Ye selaku Pengurus Jenama bagi Leapmotor mewakili Stellantis Malaysia. Seusai sesi taklimat, kami memulakan perjalanan menuju ke Putrajaya dengan pemanduan yang sungguh santai.
Mengapa saya katakan ‘sungguh santai’? Ini kerana konvoi kami juga memandu dalam kelajuan sekitar kurang 90 km/j (atau sering dalam 60-70 km/j) walau pun memandu di Lebuhraya MEX. Memang kaki terasa hendak menekan pedal pendikit apatah lagi Leapmotor C10 ini dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal yang dijanakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) 69.9 kWh. Ia mampu memberikan kuasa sekitar 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat untuk mencapai kelajuan maksimum hingga 170 km/j. Apatah lagi talaan bagi EV C10 ini dilakukan di fasiliti Maserati di Itali.
Disebabkan kekangan waktu dan keadaan untuk melenjan serta menikmati pengendalian C10 ini, saya tidak dapat mengulasnya secara terperinci. Apa yang boleh saya katakan, C10 ini memberikan keselesaan yang cukup optimum apatah lagi ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit buatan Oeko-Tex Standard 100 yang kalis cecair, bebas toksik, mudah dibersihkan dan mesra bayi. Bukan setakat selesa, malah kabin C10 ini juga luas tau. Sesuai untuk kegunaan seisi keluarga.
Kalau anda bawak C10 untuk healing di tepi sungai atau laut ke, dah tak perlu nak pasang khemah, sebab anda boleh tidur di dalam kabin dengan selesa. Tempat duduknya boleh dibaringkan secara rata, dan kusyennya memang cukup empuk. Penyandar belakang juga boleh direbahkan menggunakan satu langkah sahaja, dan boleh menyediakan ruang seluas 1.8 meter x 1.2 meter.
Untuk ruang kargo, C10 memiliki kapasiti seluas 435 liter dengan tempat duduk berada dalam keadaan normal. Jika tempat duduknya dengan nisbah 60:40 direbahkan, kapasitinya akan menjadi 1,410 liter. Ruang di bahagian hadapan kereta ini turut memberikan 32 liter kapasiti tambahan.
EV C10 ini juga dilengkapi dengan Nap Mode, di mana jika anda memilih mod ini, enjin masih dihidupkan secara minimal dan pendingin hawa juga masih berfungsi. Anda tak perlu risau dengan keracunan karbon monoksida dalam kereta seperti mana yang sering berlaku dalam kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman. Dengan Nap Mode ini, anda juga boleh memasang audio yang disajikan muzik alam yang mendamaikan mengikut pilihan anda, dan anda juga boleh melaraskan ketatapan waktu untuk anda bangun dari tidur. Katanya ada alarm clock!
Mengikut Leapmotor, C10 boleh memberikan jarak gerak hingga 420 km mengikut kitaran WLTP bagi satu pengecasan penuh. Ia boleh mencapai tahap SoC 30%-80% dalam masa 30 minit dengan pengecasan pantas DC yang berkadaran maksimum 84 kW. Bagi pengecasan biasa AC, kadar maksimum pengecasan adalah 6.6 kW dan memerlukan masa 6.1 jam untuk mencapai SoC yang sama. Fungsi V2L juga ada, dengan kapasiti 3.3 kW. Dan dengan adanya V2L ini, anda boleh mengecas atau menyalurkan kuasa elektrik kepada peranti atau perkakasan ringkas seperti TV, lampu, komputer, dan telefon bimbit. Jadi, kalau membawa C10 untuk berkhemah, anda tak perlu risau untuk mendapatkan bekalan elektrik jika diperlukan.
Berkenaan dengan rekaan yang dipertaruhkan, gaya minimalis menjadi pilihan namun pada pandangan mata saya secara peribadi, saya menggemarinya biarpun sekadar ringkas. Imej luarannya masih kelihatan elegan dan bergaya serta penuh karekteristik. Tidak hairanlah ia menerima beberapa pengiktirafan termasuk French Design Award 2024 dan US MUSE Design Award 2024.
Bahagian hadapannya diberikan Active Grille Shutter dengan lampu hadapan tirus yang menampak imej sofistikated. Untuk profil sisi, ia menampilkan pemegang pintu tersembunyi dan rim 20-inci yang dibaluti tayar Dunlop e.Sport Maxx bersaiz 245/45. Melewati bahagian belakangnya, ia juga diberikan jaluran pencahayaan yang diapit lampu LED pada kedua-dua belah sisi, dengan butang kecil untuk membuka pintu tailgate secara automatik. C10 ini juga diberikan bumbung panoramik kaca automatik dan kunci NFC untuk pengoperasian kenderaan.
Bercakap mengenai kunci NFC ini, ia memang kelihatan canggih dan ‘n trend’, cuma secara peribadinya, saya kurang senang dengan penggunaannya. Anda perlu menyentuh kunci NFC tersebut pada pemegang pintu, dan apabila anda menarik pemegang pintu tersembunyi itu dan memasuki ruang kabin, enjin akan dihidupkan secara automatik tanpa perlu menekan butang penghidup enjin.
Dan mengikut pengalaman saya tika itu, kunci NFC tersebut perlu diletakkan di atas alas pengecas Qi tanpa wayar untuk memastikan ia dikesan oleh sistem komputer pengoperasian enjin. Jika ia dialihkan dan anda memasukkan gear ‘P’, dan kemudian mahu menukar ke gear ‘D’ atau ‘R’, sistem pengoperasiannya tidak dapat mengesannya dan enjin seakan tidak berfungsi (tetapi pendingin hawa masih berfungsi). Dan tertera arahan pada skrin paparan di hadapan pemandu untuk memastikan kunci NFC tersebut perlu diletakkan kembali pada alas pengecas Qi tanpa wayar untuk mengoperasikan kenderaan.
Untuk ciri di dalam kabin, selain tempat duduk yang cukup selesa, C10 ini juga hadir dengan rekaan yang serba ringkas dan tanpa ciri futuristik yang sarat. Ia dilengkapi stereng dua-jejari, sistem penapis udara RM2.5, tuil gear di belakang stereng, kawalan suhu dua-zon, empat slot USB (satu Type A, satu Type C; masing-masing di depan dan belakang) dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci.
Perisian operasinya memanfaatkan cip Qualcomm Snapdragon 8155 yang didakwa memberikan prestasi yang lancar yang boleh sentiasa di dipertingkat melalui kemaskini over-the-air (OTA). Sistem infotainmen pula menampilkan sistem audio 840 watt dengan 12-pembesar suara yang dibangunkan sendiri, begitu juga dengan ciri tunjuk arah, Wi-Fi dan Bluetooth. Bagaimanapun, tiada sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto. Oh! sistem bunyi C10 memang best, anda boleh berkaraoke dengan penumpang. Cuma perlu terus fokus pada pemanduan, jangan sampai tersesat jalan atau pun membahayakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Bagi aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemanduan, C10 dilengkapi dengan tujuh-beg udara, penderia parkir belakang dan kamera 360-darjah. Ia juga menampilkan ciri ADAS Tahap 2 dengan 12-penderia berketapatan tinggi dan menawarkan 17 fungsi berkaitan, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan lalu lintas, amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong.
Untuk pasaran tempatan, C10 ini menawarkan empat pilihan warna iaitu Midnight Aurora, Pearly White, Tundra Grey dan Glazed Green (warna utama). Leapmotor C10 didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu) serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu). Tempoh selang servis bagi SUV ini adalah sebanyak satu tahun sekali, atau 20,000 km (yang mana dahulu).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.