Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata pihaknya akan meningkatkan langkah keselamatan di kawasan berisiko tinggi dengan menempatkan lebih ramai anggota polis bantuan untuk mencegah pencerobohan landasan pada masa hadapan. Ini berlaku susulan insiden pencerobohan landasan beberapa hari lepas, di mana seorang lelaki maut dan empat lagi cedera ringan selepas mereka dirempuh kereta api KTM Komuter di KM 34.734, laluan antara Teluk Pulai dan Klang.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata syarikat itu akan terus berhubung dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di premis operasi, laporan Bernama.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengukuhkan undang-undang sedia ada dan membendung insiden pencerobohan. Keselamatan penumpang dan operasi kereta api yang lancar kekal menjadi keutamaan kami,” katanya. Tambah beliau, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu, di mana tren KTM Komuter 2110, yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada 6.39 pagi Selasa, terpaksa menghentikan operasi selama lebih sejam selepas perlanggaran tersebut.
Seramai 200 penumpang terjejas dan terpaksa dihantar ke Stesen Klang dengan diiringi pegawai polis bantuan dan kakitangan KTMB. Mereka kemudian menaiki bas ulang-alik ke Stesen Subang Jaya untuk meneruskan perjalanan. Sebuah lokomotif sementara telah dihantar untuk menunda kereta api terbabit bagi membolehkan mayat mangsa dipindahkan, membolehkan perkhidmatan kereta api beroperasi semula seperti biasa.
Pengendali kereta api itu memohon maaf atas kejadian itu dan menggesa orang ramai supaya peka dan sedar tentang bahaya pencerobohan di landasan kereta api.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.