Selepas model petrol penuh Jaecoo J7 dilancarkan pada Julai tahun lalu, kini versi dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) bagi SUV segmen-C itu pula dilancarkan pada pasaran Malaysia hari ini. Sama seperti J7 biasa, Jaecoo J7 PHEV ini turut terus dilancarkan dalam versi pemasangan tempatan, namun ia hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu pacuan roda hadapan (2WD), tanpa pilihan varian AWD.
Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM158,800. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J7 PHEV ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan. Manakala untuk bateri hibrid, waranti yang diberikan adalah lapan tahun atau 160,000 km, di mana Jaecoo akan menukar bateri baharu sekiranya tahap kesihatan bateri berkenaan berada di bawah 70%.
Malah untuk pembeli-pembeli terawal iaitu yang meletakkan tempahan sebelum 2 Mac 2025, Jaecoo J7 ini juga ditawarkan dengan waranti enjin dan juga bateri hibrid selama 10-tahun atau sejuta kilometer,
Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.
Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).
Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.
SUV ini dibekalkan dengan tangki petrol berkapasiti 60 liter, manakala penggunaan bahan apinya pula boleh mencapai serendah 5.99 l/100 km. Jadi dengan bekalan satu tangki petrol penuh dan juga satu cas bateri penuh, Jaecoo mendakwa J7 PHEV ini mampu untuk bergerak sejauh 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP.
Sekali imbas, Jaecoo J7 dan J7 PHEV menampilkan rekaan luaran yang sama. Namun jika diperhatikan dengan betul, model PHEV ini dibezakan dengan rekaan cermin sisi berbeza, diberikan grafik dengan motif bendera perlumbaan pada pintu, set rim aloi 19-inci rekaan Aero, serta tidak menampilkan tip ekzos di bawah bampar belakang.
Antara perincian standard yang diberikan untuk J7 PHEV pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, lampu kabis hadapan dan belakang.
J7 petrol dan J7 PHEV menampilkan dimensi yang sama iaitu 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,672 mm. Namun kadar Kedalaman air yang mampu diredah pula adalah sedikit rendah iaitu hanya 450 mm, berbanding 600 mm pada model petrol penuh.
Walaupun menempatkan bateri bersaiz besar di bawah lantai, J7 PHEV ini masih menampilkan ruang but dengan kapasiti agak besar iaitu 500 liter. Sekiranya anda mahukan ruang lebih besar untuk mengangkat barang, tempat duduk belakang boleh direbahkan bagi memberikan ruang keseluruhan 1,265 liter.
Pada bahagian dalaman juga model petrol dan PHEV ini menampilkan rekaan yang hampir sama jika dilihat sekali imbas. Namun apa yang membezakan model PHEV ini adalah ia tidak mempunyai tombol gear dan juga suis putar untuk memilih mod pemanduan pada konsol tengah.
Bahagian tersebut diganti dengan pemegang cawan yang disusun secara melintang bersama sebaris suis-suis fizikal untuk pemilihan mod EV dan HEV. Manakala untuk memilih gear, ia boleh dibuat menerusi tuil kecil yang diletak kolum stereng. Panel pintu model PHEV ini juga nampak lebih ringkas kerana tidak diberikan hendal pemegang, serta tidak diberikan suis-suis fizikal.
Skrin utama untuk infotainmen masih kekal bersaiz 14.8-inci yang diletak secara menegak dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci pula menerima paparan berbeza bagi memberikan informasi berkenaan sistem hibrid SUV ini.
Perincian dalaman lain yang turut disertakan pada model ini termasuk empat slot USB, pengecas telefon tanpa wayar Qi, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, kamera 360 darjah dengan fungsi telus cahaya, sistem penghawa dingin dua zon, serta ada juga perakam video digital (DVR).
Ia juga datang dengan tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, pemanas dan liang aliran udara, suis pelaras pada bahagian bahu tempat duduk penumpang hadapan, upholsteri kulit sintetik, bumbung kaca panaromik dan pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan.
Bagi aspek keselamatan, Jaecoo J7 PHEV pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan lapan beg udara, sistem peninjau tekanan tayar dan juga brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Ia turut diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri daripada 20 fungsi berbeza termasuk Adaptive Cruise Control, Integrated Cruise Assist, AEB, Intelligent Evasion System, Emergency Lane Keeping Assist dan Rear Cross Traffic Braking.
Untuk permulaan Jaecoo J7 PHEV yang dihasilkan di kilang Chery Malaysia di Shah Alam ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Carbon Crystal Black (Hitam Kristal Karbon), Moonlight Silver (Perak Cahaya Bulan) dan juga warna istimewa yang hanya akan ditawarkan sebanyak 100 unit di Malaysia iaitu Khaki White (Putih Khaki). Selepas itu SUV ini turut akan ditawarkan warna Olive Grey (Kelabu Zaitun).
GALERI: Gambar rasmi Jaecoo J7 PHEV pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.