Dengan perkembangan global yang menunjukkan permintaan terhadap model-model EV yang kini mula ‘sejuk’ dan juga populariti model-model yang digerakkan dengan teknologi hibrid semakin meningkat, Honda telah membuat penjajaran semula terhadap rancangannya iaitu dengan merendahkan sasaran jualan dan juga pelaburan untuk pembangunan EV, dalam masa yang sama bakal memperbanyakkan model-model HEV dalam pasaran.
Perubahan rancangan ini diumumkan oleh CEO Honda Toshihiro Mibe ketika berlangsungnya taklimat kemaskini perniagaan tahunan syarikat tersebut pada awal minggu ini. Untuk itu Honda hanya akan melabur sebanyak tujuh trilion yen (RM208.2 bilion) untuk pembangunan EV dan perisian bagi jangka masa panjang, berbanding 10 trilion yen (RM297.5 bilion) pada rancangan asal yang diumum tahun lalu.
Begitu juga dengan jualan, Honda akan menurunkan sasarannya untuk EV menjelang 2030 kerana permintaan dalam pasaran dilihat merosot atas beberapa faktor, termasuk perubahan pada undang-undang alam sekitar dan juga polisi perdagangan di pelbagai negara. Menurut Honda, nisbah untuk EV kini jatuh di bawah paras 30% berbanding yang disasarkan sebelum ini.
Pengurangan sasaran jualan dan juga pelaburan untuk EV ini akan digantikan dengan fokus terhadap model-model hibrid yang dilihat sebagai penghubung sebelum peralihan kepada elektrik sepenuhnya. Oleh itu Honda mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan beberapa model hibrid (HEV) generasi baharu bermula 2027, dengan sasaran melancarkan 13 model HEV pada pasaran global menjelang akhir dekad ini.
Honda akan kekal dengan sistem e:HEV untuk rangkaian model-model hibridnya tetapi bakal diberikan pelbagai tingkat taraf untuk generasi selepas ini, dipadankan bersama platform generasi baharu yang lebih ringan dan stabil, serta ditawarkan dengan unit pacuan semua roda.
Antara tingkat taraf yang akan dibuat termasuk peningkatan jarak gerak di mana enjin dapat beroperasi dalam keadaan paling efisien serta kadar keberkesanan pemanduan dipertingkat, dengan kadar ekonomi bagi sistem e:HEV generasi baharu tersebut dapat ditambahbaik sehingga lebih dari 10%.
Honda turut mensasarkan untuk mengurangkan kos sistem hibrid generasi baharu tersebut dengan lebih dari 30% berbanding sistem e:HEV pada model-model sedia ada. Ia akan dibuat dengan mensasarkan penurunan kos utama pada komponen-komponen penting seperti bateri dan motor elektrik menerusi pelbagai inisiatif. Ia termasuk bekerjasama rapat dengan pembekal ketika dalam proses pembangunan, bagi mempertingkatkan keberkesanan produksi dan mengharmonikan lebih banyak komponen dalam aspek perkongsian komponen.
Syarikat itu juga mendedahkan bahawa ia akan membangunkan sistem hibrid baharu untuk kenderaan bersaiz besar bagi model-model pasaran Amerika Utara, dengan sasaran bagi memperkenalkan ia pada produk yang akan dilancarkan di sana pada separa kedua dekad ini. Selain itu logo baharu Honda yang direka untuk model-model EV turut akan digunakan pada model-model utama HEV bermula 2027.
Dengan penjajaran semula dibuat pada rancangannya ini, Honda berharap untuk meningkatkan jumlah jualan global pada 2030 lebih banyak dari sasaran asal iaitu 3.6 juta unit. Dari jumlah berkenaan, 2.2 juta disasarkan adalah HEV, manakala untuk EV pada kadar sekitar 750,000 unit.
Namun Mibe sekali lagi menegaskan ini bukan bermaksud Honda akan melupakan teknologi EV kerana syarikat itu masih berpendapat ia adalah solusi yang optimal untuk mencapai peneutralan karbon bagi kenderaan penumpang. “Pelaburan untuk EV tidak disisihkan, cuma dilewatkan sahaja,” katanya.
Model-model Honda 0 Series (di mana model SUV dan Saloon 0 telahpun didedahkan) masih akan menjadi model utama Honda dalam segmen EV. Model generasi pertama siri berkenaan akan diperkenalkan dalam pasaran pada tahun hadapan dan bakal menjadi kenderaan yang diperhaluskan oleh perisian (SDV).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.