Geely telah pun mendedahkan harga untuk SUV EV Geely EX5 untuk pasaran Australia, di mana kembar bagi Proton eMas 7 itu (juga dikenali sebagai Geely Galaxy E5 di China) ditawarkan dalam dua varian iaitu Complete dan Inspire. Kedua-dua varian ini menampilkan unit rangkaian kuasa dan bateri yang sama, tetapi dengan prestasi dan jarak gerak yang berbeza.
Model asas Complete dijual pada harga AUD40,990 (sekitar RM114k) tidak termasuk kos atas jalan, datang dengan perincian seperti rim aloi 18-inci, lampu hadapan LED dengan lampu tinggi automatik, penutup gril aktif, pengelap cermin automatik, paparan instrumen digital 10.2-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 15.4-inci serta enam pembesar suara.
Ia juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori dan pemanas, pemantau tekanan angin tayar, dan juga Perkhidmatan Terhubung Geely yang memberikan servis-servis seperti kemaskini OTRA, pembantu arahan suara, striming media atas talian dan juga sistem telematik.
Bagi varian tertinggi Inspire pula, ia dijual pada harga AUD44,990 (RM125k) dan datang dengan perincian seperti rim aloi 19-inci, bumbung suria panaromik dengan pelindung matahari berkuasa, paparan head-up 13.4-inci, fungsi aliran udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, perehat kaki kawalan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, sistem bunyi 1,000W dengan 16-pembesar suara serta lampu suasana kabin dengan 256 warna.
Kedua-dua varian berkenaan diberikan kelengkapan keselamatan yang sama, ia termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, pemantau titik buta, pemantau status pemandu, bantuan pergerakan mengelak, bantuan kekal lorong, brek pelbagai pelanggaran, amaran pengesan penumpang, amaran keluar selamat, kamera pandangan sekeliling, pengenal tanda trafik dan tujuh-beg udara. Varian Inspire hanya ditambah dengan penderia parkir hadapan.
Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-duanya menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm yang hanya memacu roda hadapan. Ia digerakkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 60.22 kWj. Walaupun menerima motor dan bateri yang sama, varian Complete boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan jarak gerak 430 km (WLTP), sementara varian Inspire pula membuat pecutan sama dalam masa 7.1 saat dan jarak gerak hanya 410 km (WLTP).
Perbezaan ini berkemungkinan disebabkan berat dari kelengkapan yang dipadankan di mana varian asas Complete yang lebih ringan membolehkan ia memecut lebih pantas dan mencapai jarak gerak lebih jauh berbanding Inspire yang lebih berat.
Bateri pada SUV ini boleh menerima sistem cas AC maksima 11 kW dan juga sistem cas pantas DC 100 kW membolehkan cas dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Ia juga diberikan sistem V2L untuk kegunaan peralatan elektrik lain dengan output 3.3 kW, serta sistem vehicle-to-vehicle (V2V) dengan output 6 kW.
Lima warna badan ditawarkan pada pasaran Australia ini di mana warna Arctic White boleh dipilih tanpa tambahan kos, sementara pelanggan yang memilih warna Shadow Black, Volcanic Grey, Moonlit Silver dan Aquatic Green perlu menambah bayaran sebanyak AUD600 (RM1.7k).
Geely EX5 ini diberikan waranti kenderaan selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbantuan.
Kelengkapan yang dibekalkan pada Geely EX5 di Australia ini adalah lebih kurang sama Proton eMas 7 di Malaysia di mana varian Prime dijual pada harga RM105,800 dan Premium berharga RM119,800. Namun varian asas Prime di sini menampilkan perincian yang sedikit rendah kerana dipadankan dengan bateri LFP hanya berkapasiti 49.52 kWj, menawarkan jarak gerak WLTP 345 km.
EX5 di Australia juga diberikan satu beg-udara tambahan pada bahagian tengah hadapan, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan dan juga waranti kenderaan setahun lebih lama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.