Tahun ini Art of Speed (AOS) kembali lagi dengan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) hari ini dan esok bermula 10 pagi hingga 7 malam melibatkan pelbagai aktiviti untuk pelbagai golongan.
Daripada tiga dewan utama yang terlibat, Dewan A adalah yang paling meriah, terutamanya untuk penggemar dunia buah suai dan kustom motosikal serta juga kereta. Bukan setakat dari dalam negara, beberapa jentera dari luar turut serta dalam acara ini termasuk dari Thailand, Jepun dan Australia.
Masuk melalui pintu utama Dewan A anda akan disambut oleh tiga motosikal yang diletakkan dalam kategori “Custom Craft”, dengan dua daripadanya datang dari Jepun, iaitu BMW R18 “Ground 0” oleh Custom Works Zon dan Harley-Davidson Knucklehead kustom hasil buatan Masa Sugihara daripada Luck MC. Menyertai dua motosikal menarik ini adalah Harley-Davidson Flathead yang diubah suai oleh Ben Forster daripada Benflathead, Australia.
Selain tiga motosikal yang menjadi tarikan utama ini, banyak lagi motosikal dan kereta ubah suai dipamerkan dalam dewan, menyertai pertandingan Show & Shine yang menawarkan hadiah perjalanan ke Yokohama Hot Rod Custom Show untuk pemenang pertama.
Untuk kategori motosikal, bukan setakat jentera kustom bergaya chopper, cafe racer atau klasik yang turut serta, tetapi juga skuter dan kapcai, menjadi platform untuk kebanyakan pembina tempatan untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.
Bahagian kereta juga tidak kurang menariknya dengan pengunjung boleh menyaksikan depan mata pelbagai model termasuk jentera lagenda Jepun, Eropah dan tempatan, serta bermacam jenis kenderaan seperti van, kereta sports klasik dan ubah suai khas.
Jika anda tidak berkesempatan untuk datang hari ini, AOS masih berlangsung esok dan di sini kami sediakan sedikit gambar untuk menunjukkan anda variasi kenderaan yang ada. Tidak kiralah apa minat anda dalam dunia automotif, pasti ada sesuatu untuk anda.
Selain pameran dalam dewan, di bahagian luar juga ada berlangsung aktiviti lain seperti perkumpulan kelab kereta dan motosikal (termasuk kawasan khas untuk Santai Scooterist), jualan alat ganti serta pandu uji (motosikal).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.