Sebagai salah satu ‘ahli keluarga’ di bawah payung Toyota, Daihatsu sememangnya menjadi jenama yang terpilih untuk turut berada dalam sayap perlumbaan Gazoo Racing. Jika pada 2019 dahulu model roadster Daihatsu Copen telah menerima lencana GR Sport, portfolio berkenaan nampaknya dikembangkan lagi dengan penampilan Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept yang akan muncul di reruai Daihatsu ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 bulan hadapan.
Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship. Selain itu, menerusi gambar yang didedahkan juga dapat dilihat Mira e:S GR Sport Concept ini menerima set rim aloi ringan dari BBS serta warna badan merah-hitam juga sama seperti jentera rali sebenar berkenaan.
Difahamkan Mira e:S GR Sport Concept ini akan diasaskan dari varian dengan enjin 660 cc turbo bersama kotak gear lima kelajuan manual, manakala dalam kabin ia mungkin menerima tempat duduk sports dari Recaro. Masih lagi belum ada kenyataan dari Daihatsu adakah model ini akan dijual atau tidak. Namun ia mungkin sama seperti Copen GR Sport sebelum ini di mana ia diperkenalkan dalam versi konsep di TAS 2019, kemudian dijelmakan dalam versi produksi selepas itu.
Mira e:S GR Sport ini juga mungkin akan menampilkan tingkat taraf sama seperti Copen GR Sport sebelum ini iaitu diberikan set suspensi lebih sporty bersama pendakap-pendakap badan tambahan. Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept ini akan dipamerkan bersama sekali dengan jentera rali Mira e:S sebenar di TAS2025 nanti.
Selain itu, Daihatsu turut membawa kereta rali Copen GR Sport yang bertanding dalam Rally Japan 2024, iaitu pusingan terakhir Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada bulan lalu. Berbanding model standard yang menerima enjin 660 cc turbo, kapasiti enjin pada Copen GR Sport rali ini dipertingkat kepada 770 cc dan masih disumbat pengecas turbo.
Kereta rali ini juga menerima kit badan lebar, menjadikan ia 40 mm lebih lebar pada setiap sisi, manakala pada sebelah kabin ia diberikan roll cage enam-poin.
Daihatsu turut akan membawa tiga buah kei-truck Daihatsu Hijet dan sebuah kei-van Daihatsu Atrai yang diubahsuai ke TAS 2025 ini. Untuk Hijet pertama ia diberi nama sebagai Extend2, iaitu trak sokongan bagi kegunaan pasukan lumba dengan badan yang boleh dipanjangkan.
Bagi Hijet kedua ia diberi nama Lift Disaster Relief Vehicle, iaitu kei-truck yang diubahsuai menjadi kenderaan penyelamat ketika bencana alam. Menurut Daihatsu, trak ini dibina berdasarkan pengalaman mereka menyertai operasi menyelamat secara sukarela ketika berlakunya hujan lebat di Kyushu Utara pada 2023.
Oleh itu Hijet Truck Lift Disaster Relief Vehicle ini dilengkapi dengan panel-panel solar, pembekal kuasa elektrik mudah alih, alat pembersih bertekanan tinggi, serta dipasang dengan lif serta pembawa kargo. Manakala Hijet terakhir dikenali Hijet Truck Tool Base, iaitu trak yang direka khas untuk membawa alatan-alatan yang digunakan di tapak projek.
Untuk satu-satunya Daihatsu Atrai yang dibawa pula dikenali sebagai Atrai Wildranger2. Kei-Van berkenaan dilengkapi dengan “peralatan-peralatan bagi mengelakkan bencana” seperti pembawa kargo keras, pembekal kuasa elektrik. Pada sebelah luar, Atrai Wildranger2 yang dijana oleh enjin 660 cc turbo ini diberikan rupa yang lasak termasuk pemandanan skid plate bawah bampar hadapan, tayar off-road dan juga sebaris lampu sorot pada bahangian bumbung.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.