Tahun lalu Chery Malaysia telah mengesahkan bahawa SUV segmen-A Tiggo 4 bakal sampai ke pasaran tempatan pada separa pertama tahun ini. Dan ketika kunjungan kami ke Chery Super Hybrid Exploration Tour di Ibu Pejabat Chery di Bandar Wuhu, China hari ini mendedahkan bahawa kita bakal menerima Tiggo 4 dengan unit rangkaian kuasa hibrid HEV baharu dari siri teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang baru sahaja dilancarkan pada peringkat global.
Perkara ini kami sedari pada satu bahagian pameran yang menunjukkan rancangan pelancaran model baharu Chery dengan sistem CSH tersebut di peringkat antarabangsa, di mana Chery Tiggo 4 HEV ditunjuk akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei 2025. Namun semakan kami terhadap wakil Chery Malaysia menyatakan bahawa Tiggo 4 HEV itu hanya akan diprebiu pada bulan hadapan dan belum lagi akan dilancarkan.
Chery turut ada mempamerkan Tiggo 4 HEV tersebut pada acara hari ini, di mana luaran dan dalaman SUV dengan saiz hampir seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V tersebut sama dengan versi facelift terkini yang telah ditunjukkan pada tahun lalu. Di pasaran-pasaran tertentu, model facelift terkini ini turut dikenali sebagai Chery Tiggo Cross.
Namun tiada sebarang perincian dan spesifikasi didedahkan berkenaan unit rangkaian kuasa yang masih belum ditawarkan dalam pasaran ini. Walau bagaimanapun ketika kami membuka penutup bonet hadapan mendedahkan bahawa Tiggo 4 HEV ini menerima enjin dengan kod G4G15B, di mana ia adalah enjin 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson.
Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 67 hp dan tork makisma 125 Nm. Tidak seperti versi sebelum ini Tiggo 4 hanya datang dalam varian hibrid ringkas untuk versi lebih mesra alam pada pasaran-pasaran tertentu, unit rangkaian kuasa CSH pada Tiggo 4 HEV ini merupakan sistem hibrid penuh.
Sekali lagi tiada perincian berkenaan motor elektrik dan transmisi yang digandingkan untuk melengkapkan sistem CSH tersebut, tetapi seorang pegawai pembangunan unit rangkaian kuasa Chery yang berada di acara tersebut mengesahkan bahawa enjin ini digandingkan dengan kotak gear khas untuk sistem hibrid (DHT) dengan kod DHT150 yang menggunakan sistem CVT, atau ECVT yang turut ada dipamerkan di acara petang tadi.
Kotak gear berkenaan turut mengintegrasikan sekali dua motor elektrik, di mana salah satunya mampu menjana sehingga 188.5 hp dan tork 300 Nm, dan sebuah lagi motor menghasilkan 94 hp dan tork maksima 140 Nm. Apa pun kita tunggu sahaja pendedahan rasmi model ini di Malaysia pada bulan hadapan bagi mengetahui perincian sebenarnya. Kami jangkakan pendedahan tersebut akan dibuat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9 Mei nanti.
GALERI: Chery Tiggo 4 HEV di Chery Super Hybrid Exploration Tour, Wuhu, China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.