Kementerian Pengangkutan hari ini menyatakan bahawa kelajuan menjadi antara punca mengapa terjadinya kemalangan maut yang melibatkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan lalu.
Dapatan ini diumumkan menerusi laporan awal yang dikeluarkan oleh pasukan petugas khas kementerian berkenaan di mana bas tersebut dipercayai telah dipandu melebihi 117.6 km/j sebelum tergelincir dan terbabas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak pada 09 Jun 2025 seterusnya menyebabkan kematian 15 penumpang bas tersebut.
Analisa dibuat bukan sahaja berdasarkan video dari dashcam sebuah Honda Odyssey yang dipotong bas tersebut sebelum ia terbabas, malah kira-kira turut dibuat dengan mengambilkira aspek seperti pusat graviti bas, jejari selekoh, pekali geseran, sudut kecerunan jalan dan pelbagai lagi.
Hasil pengiraan yang dibuat, pasukan petugas khas tersebut mendapati kelajuan kritikal untuk bas itu tergelincir adalah antara 104.2 km/j hingga 111.1 km/j, manakala kelajuan kritikal untuk ia terbalik adalah antara 111.3 km/j hingga 114.5 km/j.
“Oleh itu, kelajuan minimum bas semasa kejadian dianggarkan melebihi 111.3 km/j, iaitu paras minimum untuk memungkinkan terjadinya kejadian terbalik dalam situasi geometri selekoh tersebut,” tulis laporan itu. Insiden tersebut berlaku di satu selekoh menurun bukit dengan had kelajuan ditetapkan pada 60 km/j.
Laporan ini juga turut memperincikan ringkasan kejadian tersebut, di mana ia terjadi pada jam lebih kurang 1.10 pagi, 9 Jun 2025, apabila bas persiaran milik syarikat Kenari Travel and Tours yang disewa khas untuk membawa 42 orang pelajar UPSI, dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terlibat dalam satu kemalangan maut di KM53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) yang menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak.
“Bas tersebut dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit sebelum melanggar sebuah motokar pelbagai utiliti (MUV) Perodua Alza yang sedang bergerak di arah yang sama menuju ke Baling, Kedah. Kenderaan tersebut membawa empat orang sekeluarga. Kemalangan yang berlaku di laluan berselekoh dan bercerun curam ini telah menyebabkan bas terbabas dan terbalik ke sebelah kiri jalan menghala ke Gerik, manakala MUV Perodua Alza terbabas ke dalam longkang di bahu jalan bertentangan menghala ke Jeli.
“Akibat kemalangan ini, seramai 15 orang pelajar UPSI telah terkorban, manakala kedua-dua pemandu bas serta penumpang lain mengalami kecederaan pelbagai tahap. Pemandu dan penumpang MUV Perodua Alza turut mengalami kecederaan, namun tiada kematian dilaporkan dalam kenderaan tersebut. Kejadian berlaku pada waktu malam di kawasan berselekoh tajam dan bercerun curam, dalam keadaan cuaca baik dan permukaan jalan yang kering, namun tanpa kemudahan lampu jalan,” tulis laporan berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.