Selepas selesai mengadakan empat kali pembentangan, kini Kementerian Ekonomi telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF). Bagaikan memberi petanda bahawa pelaksanaannya semakin hampir direalisasikan, laporan Berita Harian.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang berkata urusan berkaitan subsidi bersasar bahan api itu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“Keputusan berhubung subsidi bersasar RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri. Pihak Kementerian Ekonomi telah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebanyak empat kali.
“Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mereka,” katanya.
Penyerahan tanggungjawab itu mencerminkan pendekatan berpusat di bawah Kementerian Kewangan dalam usaha menyusun semula sistem subsidi negara sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan fiskal yang lebih menyeluruh.
Mac lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.
Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai sistem agihan subsidi RON95 selepas mengambil kira agihan Sumbangan Asas Rahamh (Sara), yang mana 700,000 penerima sebelum ini akan diperluas kepada 5.4 juta penerima MyKad bermula 1 April ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90% berbanding 85% sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.