Thailand sebelum ini sudahpun dikenali sebagai “Detroit of ASEAN” kerana menjadi hab produksi bagi banyak jenama automotif global, tetapi sehingga kini negara berkenaan masih belum mempunyai jenama automotif nasionalnya sendiri. Namun menerusi laporan Autolifethailand, negara itu nampaknya bakal memperkenalkan jenama kenderaan elektrik (EV) sendiri dengan kerjasama kerajaan dan juga jenama automotif dari China iaitu Chery.
‘Jenama EV Nasional Thailand’ yang belum lagi didedahkan namanya ini menerima sokongan utama dari Kementerian Perdagangan Thailand serta sokongan tambahan dari Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Nasional. Selain dari Chery, pihak bukan kerajaan lain yang terlibat dalam projek ini adalah King Gen, syarikat yang ditakrifkan menjalankan perniagaan logistik dan pengangkutan oleh Bursa Saham Thailand (SET).
Laporan itu menyebut bahawa kerjasama ini akan menyaksikan tiga model EV bakal dilancarkan hujung tahun ini, merangkumi trak pikap, MPV dan juga SUV. Model-model dari jenama EV Nasional Thailand ini akan menampilkan 50% komponen yang dibuat secara tempatan.
“Chery Automobile, peneraju global dalam teknologi automotif, dan Omoda & Jaecoo telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan untuk membangunkan jenama kenderaan elektrik Thai bagi memartabatkan industri automotif Thailand untuk menjadi hab pengeluaran EV di rantau ASEAN,” kata Chery.
“Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan jenama EV nasional Thailand, mempromosikan keupayaan teknologi EV domestik, dan menyokong pengeluar alat ganti domestik untuk memasuki rantaian bekalan global, memfokuskan pada jualan di Thailand, menonjolkan kekuatan teknologi EV dan harga berpatutan untuk pengguna Thailand,” tambah syarikat itu lagi.
Kami jangkakan projek ini akan memberikan keistimewaan yang sama seperti jenama automotif nasional di Malaysia iaitu Proton, di mana 49% saham syarikat itu kini dimiliki oleh Geely, satu lagi pengeluar kenderaan dari China seperti Chery. Jadi kami jangkakan ‘jenama EV nasional’ Thailand ini turut akan diberikan insentif cukai dan mungkin pembelian secara flit oleh kerajaan Thai kelak.
Bagi hub produksi seperti Thailand, 50% kandungan tempatan pada sebuah kenderaan yang dibuat negara berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini kerana ada jenama Jepun yang mempunyai kilang pemasangan di Thailand boleh menghasilkan kenderaan dengan kandungan tempatan sedikit lebih banyak dari jumlah tersebut.
Di Malaysia, model-model keluaran satu lagi jenama nasional tempatan iaitu Perodua secara lazimnya menghasilkan kenderaan dengan kandungan tempatan pada kadar 90%. Malah ada yang lebih, Ativa misalnya mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 95% walaupun ia dibangunkan bersama Toyota dan Daihatsu.
Untuk Proton, model-model yang dibangunkan secara sendiri seperti Saga, Persona dan Iriz juga mempunyai kandungan tempatan yang agak tinggi. Namun untuk model-model yang diambil dari Geely, kandungan tempatannya agak hampir dengan kadar 50% seperti yang diterima Chery. Malah ada model baharu yang belum mempunyai fasiliti untuk dipasang di Malaysia seperti Proton eMas 7, unit-unit awalannya masih diimport sepenuhnya (CBU) dari China.
Model-model yang disebut untuk dibangunkan bagi ‘jenama EV nasional’ Thailand ini dilihat selari dengan pembangunan model-model ‘M-series’ yang pernah disebut oleh Chery tahun lalu, merangkumi model seperti MPV tujuh-tempat duduk dan SUV tujuh-tempat duduk. Ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 bulan lalu juga Chery turut telah melancarkan jenama trak pikap baharunya iaitu Himla. Jadi tiga model yang dimaksudkan tersebut mungkin diasaskan dari tiga model Chery ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.