Skip to content
Refpropos.

Refpropos.

  • Home
  • Automobile
  • HVAC
  • Supercar
  • Volvo
  • Entrepreneur
  • Toggle search form
Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Posted on May 10, 2025 By rehan.rafique No Comments on Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Malaysia dan pasaran ASEAN lain seperti Thailand sudahpun menerima Toyota Corolla Cross facelift sejak tahun lalu. Namun untuk Corolla Cross GR Sport, rupa luaran versi lebih sporty berkenaan kelihatan masih lagi sama dengan sebelumnya. Terbaharu, Toyota Corolla Cross facelift 2026 didedahkan pula di Eropah. Bagi versi biasa, rupa luaran yang ditampilkan adalah hampir sama dengan yang kita dapat di sini. Tetapi untuk varian GR Sport, ia tampil dengan rupa baharu yang jauh berbeza.

Sebenarnya pasaran Eropah baru sahaja ditawarkan dengan varian GR Sport menerusi versi facelift terkini ini. Rupa lebih sporty varian ini disumbangkan pada bampar hadapan yang kelihatan diinspirasikan dari rekaan bampar hadapan hot-hatch Toyota GR Corolla, bersama gril atas yang nipis dan diberikan logo Toyota dalam kemasan hitam pada bahagian lebih tinggi.

Lampu hadapan varian GR Sport ini masih sama dengan varian biasa pasaran Eropah yang menggunakan teknologi lampu tinggi adaptif, berlainan dari lampu untuk model di Asia. Begitu juga dengan lampu belakang yang nampak berbeza terutamanya pada bahagian grafik LED.

Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Model GR Sport ini juga diberikan set rim aloi 19-inci berbanding 18-inci untuk varian tertinggi pada versi biasa. Ia turut ditawarkan dengan warna badan eksklusif dua tona Storm Grey bersama bumbung berwarna hitam berkilat.

Sentuhan prestasi yang diberikan pada Corolla Cross GR Sport ini termasuk talaan suspensi yang direndahkan 10 mm, stereng ditala semula dan diberikan pedal penukar gear yang “menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang terhubung dan mengujakan”, mod pemanduan Sport baharu yang memberikan respon pecutan lebih cepat dengan kelajuan pepura yang dinaikkan serta rasa brek enjin yang dioptimakan dan juga mod Snow Extra bagi memberikan pengendalian pada permukaan bersalji yang lebih baik.

Di Eropah Corolla Cross ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa hibrid, iaitu varian asas Hybrid 140 yang menampilkan enjin petrol 1.8 liter empat-slinder dengan motor elektrik menghasilkan kuasa 140 PS, dan juga varian Hybrid 200 dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder bersama motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 200 PS. Tiada talaan kuasa tambahan untuk Corolla Cross GR Sport, tetapi ia hanya ditawarkan dalam versi pacuan semua roda i-AWD.

Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

Sistem tersebut menampilkan motor elektrik bagi memacu roda belakang. Dengan mod Snow Extra yang disebut tadi, sistem i-AWD ini akan memastikan Corolla Cross ini dapat dikawal ketika memecut, nyah pecut, membrek, mengambil selekoh, menukar lorong dengan kawalan bantuan dari motor pada gandar belakang berkenaan walaupun dalam keadaan salji yang teruk.

Corolla Cross facelift pasaran Eropah ini juga menampilkan sedikit penyegaran pada bahagian kabin. Paling jelas kelihatan adalah pada bahagian konsol tengah yang direka lebih lebar memberikan ruang storan untuk telefon pintar yang lebih besar dan juga tombol gear yang direka semula.

Ia juga diberikan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci baharu, skrin infotainmen Toyota Smart Connect baharu yang lebih besar bersaiz 10.5-inci, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta pengecas tanpa wayar yang lebih pantas standard untuk semua varian.

2025-corollacrossgrsport-det-010

2025-corollacrossgrsport-det-009

Bagi varian lebih tinggi, Corolla Cross facelift ini diberikan lampu suasana kabin yang ditingkat taraf, dan juga roda stereng serta tempat duduk dengan pemanas. Manakala bagi varian GR Sport, ia diberikan tempat duduk dan roda stereng GR, bersama upholsteri Brin.Naub iaitu kulit sintetik seakan sued dengan serlahan benang merah.

Toyota Corolla Cross facelift ini akan mula dijual di Eropah pada musim panas 2025, manakala varian GR Sport pula akan mula dijual bermula luruh. Model facelift yang sama dengan varian GR Sport turut disahkan akan dilancarkan di Australia pada separa kedua tahun ini.

GALERI: Toyota Corolla Cross GR Sport pasaran Eropah 2026

GALERI: Toyota Corolla Cross facelift pasaran Eropah 2026


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Automobile

Post navigation

Previous Post: The Benefits of Using Proposal Software for Business Growth
Next Post: Skoda debuts new 340hp Enyaq vRS

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Morolayo Akpuluma | Canada | Start Today & Be Your Best Self
  • From Local To Global: Strategies For Scaling Your Startup Internationally
  • A WWII Aircraft Engine Gets A Second Life As Glass Coffee Table
  • ¿Cuáles son los nuevos SUV’s con cuestionables calificaciones de seguridad?
  • How to find any file on your phone

Categories

  • Automobile
  • Entrepreneur
  • HVAC
  • Supercar
  • Volvo

Copyright © 2025 Refpropos..

Powered by PressBook Blog WordPress theme