Dipertontonkan buat pertama kalinya pada Mei tahun lalu, Jetour Dashing dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada awal bulan April ini seperti mana yang dicanangkan menerusi laman Facebook Jetour Auto Malaysia.
Seperti yang kami pernah kongsikan sebelum ini, Dashing merupakan SUV lima-tempat yang dibangunkan dengan senibina Kunlun, dengan saiz antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), iaitu berukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.
Dua varian ditawarkan, iaitu Prime dan Signature, kedua-duanya dijanakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu memghamburkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm adan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.
Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac enam-kelajuan dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan (Economy, Comfort, Sport) untuk kesesuaian pemanduan. Bagi varian asas Prime, ia diberikan roda 18-inci (tayar profil 235/60), sementara model spesifikasi tertinggi ditampilkan dengan unit 19-inci (tayar profil 235/55).
Bagi ciri kelengkapan standard yang lain, Prime menerima lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, remote engine start, upholstery tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, kluster instrumen digital 25-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang dan penapis CN95.
Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, varian asas menerima kawalan kelajuan pasif, kamera undur, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.
Manakala varian Signature diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-cara, pencahayaan ambien, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantau pendangan sekeliling 360-darjah.
Terdapat lima warna luaran yang ditawarkan iaitu Vanilla Blue, Khaki White, Star Black, Phantom Grey dan Tech Grey. Kami akan berkongsikan perincian penuh termasuk harganya apabila ia dilancarkan di sini tidak lama lagi.
GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.