Chery Malaysia mengumumkan bahawa empat buah bilik pameran baharunya telah dibuka di Sabah dan Sarawak, di mana dua daripadanya adalah berstatus 3S. Menurut syarikat itu, pembukaan jaringan pengedaran baharu yang agresif ini menunjukkan komitmennya bagi menawarkan akses yang lebih luas dan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggannya yang semakin meningkat di Malaysia Timur.
“Chery secara beransur-ansur mengembangkan penampilannya di Borneo dan kami berharap dapat meliputi lebih banyak lokasi di kedua-dua negeri. Kami tidak sabar-sabar untuk mengembangkan lagi rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan lebih ramai rakyat Malaysia peluang untuk memiliki rangkaian kenderaan Chery,
“Dengan cawangan baharu di Sabah dan Sarawak, kami yakin pelanggan Chery kami di rantau ini akan terus menerima yang terbaik dalam jualan, perkhidmatan dan sokongan selepas jualan,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.
Tiga daripada bilik pameran berkenaan terletak di Sabah iaitu di Chery Sandakan, Chery Tawau dan Chery Imago Mall Kota Kinabalu, di mana ketiga-tiga dioperasikan oleh Universal Chery Sdn Bhd. Manakala satu lagi fasilti berkenaan terletak di Miri Sarawak dioperasikan oleh MP Advanced Automotive Sdn. Bhd.
Chery Tawau merupakan pusat 3S dengan keluasan 682 meter persegi yang turut menawarkan alat ganti dan servis selepas jualan, serta menyediakan empat ruang servis. Fasiliti ini terletak di TB4005, Taman Berkeley, Batu 1, Jalan Apas, Tawau, Sabah.
Bilik pameran Chery Tawau ini dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti am). Manakala pusat servis pula dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu), dan tutup pada hari Ahad dan cuti am.
Chery Sandakan pula merupakan bilik pameran bertaraf 1S terletak di aras lantai, Lot No 1, Taman Wemin, Batu 5, Jalan Labuk, Sandakan, Sabah. Ia dibuka bermula pada 8 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti am).
Manakala Chery Imago Mall merupakan bilik pameran ‘butik’ yang unik kerana terletak di dalam kompleks membeli belah. Terletak di Lot G-74-1 Aras Lantai Imago Mall Kota Kinabalu, bilik pameran ini berfungsi seperti bilik pameran lain seperti mempamerkan kereta, menyediakan pandu uji dan juga urusan jualan, tetapi dalam suasana berbeza.
“Kami faham bahawa keluarga moden hari ini, sering menghabiskan hujung minggu mereka membeli-belah, menikmati aktiviti masa lapang, dan menghabiskan masa berkualiti bersama-sama. Dengan membawa bilik pameran kami ke Imago Mall, kami memudahkan anda meneroka kereta kami sambil menikmati segala yang ditawarkan oleh pusat membeli-belah itu,” kata Chew.
Chery Imago Mall ini juga dibuka setiap hari, dari pukul 10 pagi hingga 8 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 10 pagi hingga 9 malam (Jumaat hingga Ahad).
Bagi Chery Miri pula ia adalah pusat 3S yang terletak di Lot 8363-8366, Aras lantai, Blok 1 Lambir Land District, Jalan Miri By Pass, Miri, Sarawak. Dengan keluasan 892 meter persegi, pusat ini turut dilengkapi dengan empat ruang servis.
Bilik pameran Chery Miri ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Sabtu) dan 9 pagi hingga 3 petang pada hari Ahad dan cuti am. Pusat servis pula dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Sabtu, dan ia ditutup pada hari Ahad dan cuti am.
Dengan pembukaan jaringan pengedaran terbaharu ini, Chery Malaysia kini mempunyai empat bilik pameran dan dua pusat servis di Sabah, serta dua bilik pameran dan dua pusat servis di Sarawak yang beroperasi dengan outlet pembaikan badan dan cat untuk setiap negeri.
Tahun lalu Chery Malaysia sudahpun memiliki 56 bilik pameran di seluruh Malaysia, dan jumlah berkenaan akan bertambah sehingga 65 outlet menjelang akhir tahun ini, kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
GALERI: Chery Tawau
GALERI: Chery Sandakan
GALERI: Chery Imago Mall
GALERI: Chery Miri
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.