BYD kini telah memperkenalkan Atto 3 model tahun 2025 di Malaysia, yang dikenali sebagai Atto 3 Ultra. Penawaran terbaru ini tidak melibatkan begitu banyak peningkatan berbanding model tahun lalu, tetapi ia datang dengan pengurangan harga banyak.
Ini tentunya respon terhadap Proton eMas 7: BYD kini telah mengurangkan harga bagi model Extended Range sebanyak RM26,000 untuk menjadikannya setara dengan model Proton itu. Kereta ini sekarang dijual dengan harga RM123,800, menjadikannya RM44,000 lebih murah berbanding harga ketika pelancaran sulungnya pada 2023 (tahun lalu juga telah diberikan pengurangan harga sebanyak RM18,000).
Ia juga bahkan lebih murah berbanding model peringkat kemasukan Dolphin Premium Extended Range (RM124,900) — adakah Dolphin juga akan mengikut jejak yang sama?
Harga bersih oleh BYD ini belum termasuk kos atas jalan seperti pendaftaran — dengan kos tersebut, ia akan menjadi RM124,500. Bagaimanapun itu sudah termasuk jaminan enam-tahun/150,000 km dan jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk unit pacuannya (160,000 km untuk bateri).
Lebih menarik, BYD menawarkan rebat tambahan bernilai RM5,000 bagi 1,000 pelanggan terawal, menjadikan harganya RM118,800. Mereka juga akan menikmati pakej servis percuma selama lapan-tahun bernilai RM4,888, memberikan penjimatan keseluruhan sehingga RM9,888. Turut disertakan dengan percuma ialah pengecas wallbox AC bernilai RM3,699, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM988 dan kabel pengecas Type 2 bernilai RM1,796.
Atto 3 Ultra masih menggunakan sebuah motor di depan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. SUV ini juga kekal didatangkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 60.48 kWh dengan jarak 420 km WLTP. Kereta ini menyokong pengecasan pantas DC 88 kW, membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 40 minit. Bagi pengecasan AC, input maksimum sama seperti sebelum ini dengan 7 kW yang memerlukan sembilan jam 42 minit untuk cas penuh.
Selain pengurangan harga yang diberikan, tidak banyak perbezaan bagi model 2025 ini. Sama seperti versi terakhir sebelum ini, Atto 3 Ultra menerima rim aloi 18-inci bagi varian tertinggi, dengan pilihan warna yang tinggal hanya Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black – tiada lagi warna Surf Blue.
Di dalam, kabin Atto 3 kini dalam warna hitam sepenuhnya, tiada lagi skim warna biru/putih. Kemasan merah dulu telah diganti dengan warna hijau cerah, manakala “tali gitar” di panel pintu kini dalam warna hitam. Kerusi depan kini juga berliang, yang tidak ditawarkan untuk model semasa.
Kelengkapan standard lain kekal sama. Ini termasuklah lampu utama LED adaptif, landasan bumbung, sistem tanpa kunci dengan kad kunci NFC, butang Push Start, pendingin zon tunggal automatik, kerusi depan larasan enam-arah untuk pemandu dan empat-arah untuk penumpang depan, balutan kemasan kulit buatan, sunroof kaca panoramik, cermin sisi dengan pemanas, sistem tunjuk arah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.
Aspek keselamatan melibatkan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, serta sistem bantuan pemandu yang sama seperti model tahun lalu. Ini termasuklah ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perlanggaran belakang dan amaran buka pintu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.