Bagi menangani isu penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard, Kementerian pengangkutan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengkaji kaedah lebih efektif yang boleh digunakan bagi membuat pemantauan, lapor Berita Harian.
Menurut menteri pengangkutan Anthony Loke, ia termasuk dengan mewujudkan bukti fizikal melalui ‘stamping’ atau tampalan pada tayar, atau menggunakan penerapan teknologi melalui penandaan menggunakan kod QR atau pengenalan frekuensi radio (RFID) untuk mengesahkan kesahihan dan keaslian tayar digunakan.
Loke menegaskan penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard mandatori adalah tidak dibenarkan di kalangan pengguna jalan raya kerana ciri-ciri pembinaannya tidak ditentusahkan dan aktiviti pengujian tayar tersebut tidak dilaksanakan sewajarnya.
“Tayar celup yang mematuhi standard adalah tayar yang telah diuji daripada aspek ketahanan dan prestasi penggunaan di mana ia terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.
“Penentusahan terhadap ciri-ciri pembinaan dan aktiviti pengujian terhadap sesebuah tayar amat penting untuk dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian atau standard yang dikuatkuasakan bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar khususnya berkaitan dengan tayar kenderaan yang meletup yang boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Perkara ini diberitahu oleh Loke menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Parlimen berkenaan penggunaan tayar celup oleh lori dan kenderaan berat yang semakin berleluasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa tayar celup adalah tayar terpakai yang dibaik pulih menerusi proses penambahan, penggantian dan pemulihan terhadap lapisan bunga tayar tanpa mengganggu struktur asal tayar berkenaan supaya ia dapat digunakan semula.
Berdasarkan ketetapan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, katanya hanya tayar celup yang mempunyai persijilan pematuhan terhadap standard mandatori sahaja dibenarkan digunakan oleh kenderaan di atas jalan raya.
“Terdapat tiga standard mandatori melibatkan tayar celup yang dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Malaysian Standard (MS) 224 : Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle; Peraturan United Nation (UN) R108 : Retreaded Pneumatic Tyres; dan Peraturan United Nation (UN) R109 : Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles.
“JPJ akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dari semasa ke semasa melalui penguatkuasaan di jalan raya atau melalui pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan kenderaan perdagangan sentiasa menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori yang telah ditetapkan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.