Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan Kerajaan Madani dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baru Cina (CNY) 2025.
“Keputusan memberikan diskaun 50% dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Jelas beliau, implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08juta.
“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023. Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024. Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50% sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya lagi.
Tambahnya, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
“Pengguna disarankan memuat-turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sebenar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smartlane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smartlane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa,” pesannya,
Dalam masa yang sama, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.